Monday 3 August 2015

Laporan Sambil Belajar Ke Bangunan Parlimen

Laporan Sambil Belajar Ke Bangunan Parlimen

Pada 5 Mei 2013 yang lalu, seramai 35 pelajar daripada Persatuan Sejarah  Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael, Ipoh telah menyertai lawatan sambil belajar ke Bangunan Parlimen di ibu negara.  Rombongan ini turut disertai oleh dua orang guru penasihat  iaitu Cikgu Malik dan Cikgu Ani.

      Kami dikehendaki berkumpul di sekolah pada awal pagi iatu kira-kira pukul 5 pagi.  Selepas menunaikan solat subuh secara berjemaah di surau sekolah, kami disediakan dengan sarapan pagi yang ringkas iaitu nasi lemak dan teh panas.  Kemudian kami berkumpul semula untuk mendengar taklimat oleh Cikgu Malik, sebelum kami menaiki bas yang disewa khas.  Bas mula bergerak dan kami tidak sabar untuk tiba di sana. Kami juga menonton dokumentari tentang bangunan Parlimen yang ditayangkan di dalam bas.  

      Sebaik sahaja kami sampai di pintu utama bangunan Parlimen itu, kami disambut oleh seorang pegawai bertugas.  Kami dibawa melawat di sekitar bangunan tersebut termasuklah taman-taman yang dibina di hadapan bangunan tersebut.  Setelah itu barulah kami dibawa masuk ke dalam bangunan itu. Kami amat bertuah kerana akan dapat menyaksikan perbahasan ahli-ahali Parlimen yang akan berlangsung sebentar lagi.  Kami disediakan tempat duduk di bahagian dewan persidangan.  Kami dapat melihat dengan jelas perjalanan perbahasan tersebut.  Selepas itu, kami melihat ahli-ahli parlimen mengambil tempat duduk mereka masing-masing.

      Perbahasan yang akan berlaku adalah tentang e-pendidikan.  Adasegelintir ahli yang berdiri untuk membangkang cadangan itu dan yang mempertahankannya.  Keadaan menjadi gamat apabila sebahagian ahli mengetuk meja tanda bantahan.  Perbahasan itu telah mengambil masa selama 30 minit.

      Isu e-pendidikan itu telah dibahaskan dengan sungguh rancak.  Hal ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya isu ini kepada masa depan pelajar-pelajar.   Selepas itu, kesemua ahli parlimen meningglkan dewan tersebut. Speaker Parlimen datang ke arah kami dan bersalam dengan kami.  Kami berasa amat gembira kerana dapat berjumpa dengan pegawai itu.

       Kami disediakan makan tengah hari di dewan makan.  Setelah itu kami meninggalkan bangunan Parlimen dan meneruskan lawatan kami ke Kuala Lumpur.   Akhir sekali, kami berharap akan dapat melakukan lawatan ke bangunan bersejarah itu sekali lagi.   Kami sampai ke sekolah pada jam 9 malama pada hari yang sama.  Sekian.

Yang melaporkan,
     
.................................
(MOHD IMRAN TUAH)
Setiausaha Persatuan Sejarah
SMK. St Michael, Ipoh

USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

  Kebelakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.
  Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

  Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.

  Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

  Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.

  Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.